26 February 2013
Politik Kepartian di Malaysia
Politik kepartian pada asasnya lahir dari sistem demokrasi. Di Malaysia, ia bermula pada tahun 1955 apabila ia menerima sistem demokrasi sebagai kaedah pemerintahan di samping sistem beraja. Tiada dalam pengalaman Islam sepanjang sejarah, tertubuhnya parti politik dalam sistem pemerintahan negara. Ini bermakna kehidupan demokrasi dalam sistem politik Islam adalah satu pengalaman baru bagi umat Islam. Bagaimana amalan demokrasi harus disaring untuk mencapai objektif kehidupan berteraskan maqasid syara’ belum sampai ke tahap matang.
Malaysia seperti negara Islam lain menerima demokrasi Barat secara bertapis. Secara umumnya, kita mengamalkan pilihan raya tetapi masih mengekalkan nilai asal yang diwarisi dari pengalaman pemerintahan Islam ynng lampau. Negara Islam tidak menerima sepenuhnya falsafah demokrasi ala Barat. Prof. Said Asymawi bila ditanya tentang status negara Islam hari ini sebagai negara demokrasi, ia menjawab tidak. Sebaliknya negara umat Islam masih mewarisi sistem pemerintahan Islam dari zaman silam.
Isu penerimaan terhadap sistem demokrasi pilihan raya menjadi perbahasan hangat dalam kalangan gerakan Islam satu masa dahulu. Demokrasi memberi ruang penyertaan rakyat dalam menentukan dasar dan hala tuju negara. Umat menjadi sumber kuasa dan hak umat dalam memuhasabah pemerintah dianggap nilai yang baik dalam demokrasi. Imam Hasan al-Banna menerima sistem demokrasi pilihanraya secara umum dengan beberapa cadangan penambahbaikan. Saya berpendapat bahawa kita masih perlu mengolah demokrasi berasaskan nilai Islam atau nilai ketimuran.
Ini adalah satu satunya penyelesaian politik yang akan memihak kepada Islam dan umat Islam. Ada pun menerima liberal demokratik Barat sepenuhnya dari segi falsafah dan nilai akan merosak dan merugikan umat Islam. Kemungkinan ketidakmatangan pengalaman politik dalam membangunan sistem politik ala Islam telah membawa negara kita kepada perbalahan politik yang mengundang kemusnahan terhadap Islam dan umat Islam sendiri. Matlamat perjuangan parti politik umat Islam tidak dipandu oleh garis panduan bagi mencapai maksud siasah syariyyah yang umum.
Hari ini perbalahan politik dalam kalangan umat Islam sampai ke tahap yang membahayakan. Dengan maksud kemungkinan meruntuhkan sistem politik demokrasi bertapis kepada demokrasi terbuka yang akan meletakkan Islam dan umat Islam di bawah konsep samarata dengan agama dan umat yang lain. Keinsafan menuntut kita bersatu, bersepakat dalam mematangkan amalan demokrasi berasaskan nilai tempatan. Namun begitu, permusuhan politik telah dikuasai dendam yang hanya tahu meruntuh. Tanpa peduli alternatifnya nanti akan memberi ruang untuk kita membangunkan politik atas asas siasah syariyyah atau cita cita tersebut akan terkubur terus.
Parti parti politik umat Islam perlulah :
1. Bersepakat bagi mencari jalan memperkasakan kedudukan Islam dan martabat umat berlandaskan peruntukan peruntukan yang sedia ada.
2. Berbincangan untuk mengatasi tiga kepincangan yang wujud dalam sistem sekarang secara muwafakat dan ansur maju.
3. Mengkaji semula dasar hubungan dengan parti parti bukan Islam agar hala tuju Malaysia kearah kesempurnaan tidak tergugat.
4. Menolak dasar liberal yang akan menghakis kedudukan Islam, hak keistimewaan melayu dan mengancam intitusi raja.
5. Memastikan peranan politik non muslim dalam mana mana tahaluf siasi tidak melebihi kuasa tanfizi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment